09 November 2010

...Kereta Malaysia vs Gajah...

GUA MUSANG: “Ketika memecut kenderaan, tiba-tiba pandangan saya gelap. Sedar-sedar, saya dapati kereta saya terperosok di bawah perut gajah,” kata Kamal Syazwan Kamarulzaman, 19, yang cedera selepas kereta dipandu merempuh gajah, awal pagi semalam.
Kejadian berlaku jam 3 pagi di Kilometer 68, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Sungai Lakit, di sini, ketika Kamal Syazwan bersama isteri dan seorang rakan dalam perjalanan dari Kota Bharu untuk pulang ke rumahnya di Rancangan Kemajuan Tanah Kesedar Paloh Satu.

Kemalangan itu menyebabkan dia dan rakan, Mohd Fikri Mat Nasir, 20, cedera ringan di muka dan menerima rawatan di Pusat Kesihatan Besar Bandar Chiku manakala isterinya, Nur Afiqah Abdul Hamid, 18, bernasib baik kerana tidak cedera.

Kamal Syazwan yang memandu Proton Iswara Aeroback berkata, dia tidak menyedari seekor gajah liar secara tiba-tiba keluar dari kawasan hutan dan berdiri di tengah jalan menyebabkan dia tidak sempat menekan brek.

“Memang ketika itu jalan berkenaan sunyi dan tiada kenderaan lain yang lalu menyebabkan saya memecut agak laju,” katanya.

Menurutnya, sebaik menyedari kereta dipandunya terperosok di bawah perut gajah, dia bersama isteri dan rakan dalam keadaan kelam- kabut bergegas keluar daripada kereta yang remuk kerana bimbang dipijak haiwan itu.

“Kami bersyukur kerana apabila keluar dari kenderaan, gajah berkenaan meninggalkan kawasan itu dan memasuki kawasan kebun penduduk di Kampung Sungai Lakit,” katanya yang tidak pasti sama ada gajah terbabit cedera atau tidak.

Kamal Syazwan berkata, dia diberi bantuan penduduk berhampiran yang bergegas keluar dari rumah selepas terdengar bunyi dentuman kuat kenderaannya merempuh gajah. -harian metro-



nota kaki tangan dan mulut: beilah barangan buatan Malaysia


1 comment: