KUANTAN: Seorang kakitangan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang baru sebulan berkahwin lemas ketika mandi di Kawasan Perkelahan pasir Kubur, di Sungai Lembing, semalam.
Dalam kejadian pada jam 12 tengah hari Mohd Hazrul Abdul Jalil, 26, dikatakan tergelincir bersama isterinya, Nor Faridah Mamat Amin, 26, sebelum mereka dihanyutkan arus deras ketika mandi di sungai itu.
Adik mangsa, Mohd Helmi Abdul Jalil, 25, berkata, ketika kejadian, dia dan ibunya, Zaidah Abdul Aziz, 55, mandi di kawasan air cetek manakala mangsa dan isterinya mandi di kawasan lebih dalam tidak berapa jauh dari mereka.
"Arwah bersama isterinya dipercayai tergelincir sebelum dihanyutkan arus kira-kira sejauh 50 meter sebelum mereka berjaya dibawa naik ke tebing dengan bantuan seorang pengunjung yang menghulurkan tali pancingnya.
"Namun ketika itu, arwah dikatakan cuba menyelamatkan isterinya daripada lemas dengan mengangkatnya ke permukaan air ketika mereka berdua tenggelam dan dihanyutkan arus.
"Malangnya, usaha kami untuk menyelamatkan arwah dengan memberi bantuan pernafasan (CPR) kira-kira 30 minit gagal dan dia disahkan sudah meninggal dunia ketika bantuan tiba," katanya.
Beliau berkata, mangsa yang bertugas di Padang Rengas, Perak pulang bercuti di kampung dan dijadualkan menghadiri kursus di Terengganu pada minggu hadapan.
"Arwah akan dikebumikan di Pekan iaitu di tanah perkuburan berdekatan kampung selepas ayah (Abdul Jalil Hassan, 54) pulang dari Sarawak," katanya yang juga anak kedua dari dua beradik.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu dan polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati lemas.-Bharian-
nota kaki tangan dan mulut: Nauzubillah..Kalau aku pun,mungkin aku nda kuat untuk hadapi itu semua.Tapi jodoh. pertemuan, ajal dan maut semua ditangan ALLAH.
No comments:
Post a Comment